Selasa, 18 November 2008

Hukum Bersuci (Bahagian 3) Bahagian-bahagian Air

Bahagian-bahagian air adalah seperti berikut:
  1. Suci lagi menyucikan.
  2. Suci lagi menyucikan tetapi makruh.
  3. Suci tetapi tidak menyucikan.
  4. Bernajis.

Huraian;
Air yang Suci lagi Menyucikan

Yang dimaksudkan dengan iar yang suci lagi menyucikan ialah air mutlak yang kekal dengan sifat kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t. Air tersebut masih dikatakan air mutlak, walaupun ia telah berubah dengan sebab sudah lama ditinggal, atau disebabkan oleh tanah, atau tuhlub (sejenis benda hijau yang terapung di atas air disebabkan tinggal lama di dalamnya - kiambang), atau bekas atau tempat mengalir seperti ia berada di dalam tanah yang mempunyai belerang atau ia mengalir di atas tanah tersebut, semua ini tetap dikatakan air mutlak. Ini kerana air tersebut sukar untuk dielakkan daripada perkara-perkara tersebut.
Terdapat dalil yang menunjukkan kesucian air mutlak iaitu hadis riwayat Al-Bukhari (217) dan lainnya daripada Abi Hurairah r.a. katanya:

" Seorang badwi telah berdiri lalu kencing dalam masjid. Kemudian para sahabat pergi untuk menghalangnya, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Biarkan dia, dan tuangkan di atas air kencingnya sebaldi air, sesungguhnya kamu dibangkitkan untuk mempermudahkan dan bukan menyusahkan."

Perintah Rasulullah s.a.w. untuk menuangkan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai ciri atau sifat menyucikan.

Air yang Suci dan Menyucikan tetapi Hukumnya Makruh

Air yang suci dan menyucikan tetapu hukumnya makruh ialah air musyammas. Ia adalah air yang panas disebabkan cahaya matahari dan dihukum makruh apabila ia memenuhi tiga syarat sebagaimana yang berikut:

  1. Ia berlaku di negeri yang panas.
  2. Ia diletakkan di dalam bekas yang ditempa daripada selain emas dan perak seperti besi, tembaga dan semua galian yang boleh ditempa (berkarat).
  3. Ia digunakan di badan manusia walaupun badan mayat, atau haiwan yang boleh menyebabkannya ditimpa penyakit sopak seperti kuda.

Imam Syafi'e r.a. meriwayatkan daripada Umar r.a.:

"Bahawa beliau (Umar) tidak suka mandi dengan air tersebut dan ia berkata: Aku tidak suka mandi dengan air tersebut disebabkan masalah kesihatan, kemudian Imam Syafi'e meriwayatkan bahawa air tersebut boleh menyebabkan penyakit sopak."

Ini kerana ketajaman cahaya matahari boleh menimbulkan keadaan berlemin (benda yang seperti minyak) busuk yang terapung di atas permukaan air. Sekiranya ia terkena pada badan dalam keadaan air tersebut panas, maka ia boleh memudaratkan badan dan menyebabkan penyakit sopak (sejenis penyakit kulit).


Air yang Suci Tetapi Tidak Menyucikan

Air ini terbahagi kepada dua iaitu:
1. Air yang sedikit yang telah digunakan untuk taharah yang wajib seperti mandi wajib dan berwudhuk. Hal ini telah disokong dengan dalil sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bikhari (191) dan Muslim (1616) daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. datang menziarahiku untuk bertanyakan keadaanku. Ketika itu aku sakit dan tidak sedar. Lalu Baginda berwudhuk dan mencurahkan air wudhuknya ke atas aku." Sekiranya air wudhuk itu tidak suci, nescaya Baginda tidak akan mencurahkan ke atas Jabir.


Dalil ia tidak menyucikan ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim (283) daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda"Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang bertakung iaitu air yang tenang yang tidak bergerak, sedangkan ia berjunub. Lalu sahabat bertanya kepada Abi Hurairah, bagaimana ia hendak dilakukan (mandi dengan air tersebut)? Jawab Abi Hurairah: Ia menyelam dalamnya dengan satu selaman (sekaligus)."

Hukum berwudhuk adalah sama dengan hukum mandi kerana kedua-duanya mengandungi maknanya yang sama iaitu mengangkat hadas.

Hadis ini menunjukkan bahawa mandi dalam air tersebut menjadikan ia tidak menyucikan lagi. Sekiranya ia tidak memberi makna tersebut, nescaya Rasulullah s.a.w tidak melarang daripada berbuat demikian. Hadis ini difahami untuk air yang sedikit berdasarkan dalil-dalil yang lain.


2. Air mutlak yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang kebiasaannya air tersebut tidak berhajat kepadanya dan ia tidak boleh dipisahkan setelah bercampur, kemudian ia berubah dengan suatu perubahan yang tidak lagi dipanggil dengan air mutlak seperti air teh dan air arqasus.

Tetapi jika benda suci yang bercampur dengan air tersebut menyerupai pada sifat-sifatnya (rasa, bau dan warna) seperti air bunga mawar yang sudah hilang sifat-sifatnya, maka ketika itu; air bunga mawar itu hendaklah diganti dengan bahan lain yang mempunyai sifat berlainan yang sederhana; iaitu digunakan perahan delima untuk menentukan perubahan rasa, perahan tebu untuk menentukan perubahan warna dan al-lazan bagi menentukan perubahan bau. Sekiranya ditakdirkan berlaku perubahan disebabkan percampuran tersebut, maka ia menjadi air yang suci tetapi tidak menyucikan lagi. Ia tidak menyucikan kerana ketika itu ia tidak lagi dinamakan air mutlak. Sedangkan syarak mensyaratkan supaya air yang dibuat bersuci adalah air mutlak.


Air Mutanajis
Merupakan air yang terjatuh najis ke dalamnya. Air ini terbahagi kepada dua bahagian sebagaimana yang berikut:

1. Air yang sedikit iaitu kurang dari dua kolah. Air ini menjadi najis dengan hanya najis jatuh ke dalamnya walaupun sedikit dan tidak merubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa. Ukuran dua kolah ialah: 500 kati Baghdadi air dan ia menyamai 192.875 kg. Ia juga menyamai 1 1/4 hasta empat persegi tinggi, lebar dan dalam.

Abu Daud, At-Tirmidzi, An-Nasa'ie, Ibnu Majah dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. katanya: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w ditanya tentang air yang terdapat di padang pasir yang luas dan didatangi oleh binatang buas dan haiwan melata. Baginda s.a.w. menjawab: Jika air tersebut sebanyak dua kolah ia tidak menanggung kekotoran." Menurut lafaz hadis disisi Abu Daud (65): Maka air itu tidak menjadi najis.


Difahami daripada hadis ini, sekiranya air kuramg daripada dua kolah, maka ia menjadi najis sekalipun ia tidak berubah sifat-sifatnya. Kefahaman ini dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (278) daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang kamu bangun dari tidurnya, maka janganlah dia menyelamkan (menyelup) tangannya dalam sesuatu bekas, sehinggalah dia membasuh tangannya dahulu sebanyak tiga kali. Sesungguhnya dia tidak mengetahui di manakah tangannya bermalam (diletakkan)." Dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w. melarang orang yang bagun dari tidur mencelupkan tangan ke dalam bekas air kerana dibimbangi tangannya dicemari najis yang tidak kelihatan. Sudah sedia maklum bahawa najis yang tidak kelihatan tidak mengubah (keadaan) air. Oleh itu sekiranya tindakkan tersebut tidak menajiskan air disebabkan menyentuhnya, nescaya Rasulullah s.a.w tidak melarang daripada berbuat demikian.

2. Air yang banyak iaitu air yang sampai dua kolah atu lebih. Air ini tidak akan menjadi najis dengan hanya semata-mata terjatuh atau tersentuh najis tetapi ia menjadi najis apabila berubah salah satu sifatnya iaitu warna, rasa atau bau. Dalilnya ialah ijmak para ulama'


Imam Nawawi r.a menyebut dalam kitabnya Al-Majmuk (1/160): "Ibnu Munzir berkata : Ulama' telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila jatuh ke dalamnya najis dan mengubah rasa atau warna atau bau, maka air itu menjadi najis."




Sedikit peringatan "Air yang boleh digunakan untuk BERSUCI...."


Bukan semua jenis air boleh dibuat bersuci iaitu mengangkat hadas (kecil atau besar) dan menghilangkan najis. Air yang boleh dibuat bersuci hanyalah jenis yang pertama (air mutlak) dan kedua (air musyammas) sahaja. Tetapi air yang kedua ini makruh digunakan pada badan.

Manakala air jenis yang ketiga, ia tidak boleh dugunakan untuk bersuci sekalipun ia sendiri adalah suci. Ia hanya boleh digunakan untuk tujuan selain bersuci seperti minum, memasak dan lain-lain.

Air jenis yang keemapat pula, ia adalah air yang najis. Ia tidak boleh digunakan untuk apa-apa kegunaanpun.

Tiada ulasan: