Isnin, 17 November 2008

Hukum Bersuci (Bahagian 2)



Hikmah Disyariatkan Bersuci


Setiap sesuatu perintah yang dibawakan oleh islam pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Begitu jugalah halnya dengan bersuci ini. Islam mensyariatkan bersuci kerana terdapat hikmah yang banyak di dalamnya, menurut pandangan Dr. Mustafo Al-Khin, Dr. Mustafo Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji di dalam kitab Fekah Mazhab Syafie (jilid 1: halaman 37) antaranya ialah:
  1. Bersuci adalah satu tuntutan fitrah. Fitrah manusia cenderung kepada kebersihan dan secara semulajadi dia tidak suka dan menjauhkan diri daripada kejijikkan dan kekotoran. Oleh kerana Islam adalah agama fitrah, maka secara semulajadi ia memerintah (manusia) sepaya bersuci dan menjaga kebersihan.

  2. Menjaga kemuliaan dan izzah (kehebatan dan kemegahan). Manusia secara semulajadi cenderung kepada seseorang yang bersih, duduk berhimpun dan duduk bersamanya. Pada waktu yang sama mereka bencikan kepada seseorang yang pengotor, menghina dan menjauhkan diri serta tidak suka duduk bersamanya. (Oleh kerana Islam adalah agama yang sangat mengambil berat dalam menjaga kemuliaan seseorang yang beriman (mukmin) dan kehebatannya, maka Islam memerintah supaya seseorang mukmin itu menjaga kebersihan agar menjadi orang yang mulia dan disegani di kalangan saudara-saudaranya).

  3. Menjaga kesihatan. Kebersihan adalah faktor yang sangat penting untuk menjaga manusia daripada penyakit. Ini kerana kebanyakan penyakit yang merebak/menular di kalangan manusia adalah disebabkan kekotoran. Oleh itu membersihkan badan, memabsuh muka, dua tangan, hidung dan dua kaki (angota-angota yang sentiasa terdedah kepada kekotoran) beberapa kali setiap hari, menjadikan badan sentiasa terpelihara daripada penyakit.

  4. Berdiri di hadapan Allah dalam keadaan suci dan bersih. Ini kerana dalam sembahyang, manusia bercakap dengan Tuhannya dan bermunajat kepada-Nya. Oleh itu selayak dan sepatutnya dia berada dalam keadaan suci zahir dan batin, bersih hati dan juga badannya kerana Allah Taala kasih kepada orang yang suka bertaubat dan sentiasa bersih.
Air yang Boleh Dibuat Bersuci
Air yang boleh dibuat bersuci ialah air hujan, air laut, air perigi, air sungai, air mata air dan air salji.
Semua air ini tergolong dalam dua kategori; Air yang turun dari langit dan air yang terbit atau terpancar dari bumi. Firman Allah Taala: "Dan kami telah turunkan dari langit air yang suci." (al-Furqan:48)
Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan Dia (Allah) menurunkan ke atas kamu dai langit, air (hujan) supaya kamu bersuci dengannya." (an-Anfal: 11)


Abu Daud, At-Tirmidzi, An-nasai'e, Ibnu Majah dan Imam Ahmad bin Hambal (At-Tirmidzi berkata: Hadis hasan sahih) meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
"Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w katanya: Wahai Rasulullah, kami telah berlayar di lauatan, dan kami telah membawa bersama-sama kami air yang sedikit, sekiranya kami berwudhuk dengannya, kami akan dahaga, apakah boleh kami berwudhuk dengan air laut? Rasulullah s.a.w menjawab: Airnya suci dan halal bangkai di dalamnya."

Maksud halal bangkai di dalamnya ialah semua yang mati di dalamnya seperti ikan dan seumpamanya boleh dimakan tanpa disembelih.

akan bersambung lagi....

Tiada ulasan: