Sabtu, 6 Disember 2008

Salam Aidiladha

Salam AidilAdha buat muslimin dan muslimat. Bagi mereka yang mengerjakan ibadah Haji mereka pada tahun ini. Didoakan agar mereka mendapat Haji yang Mabrur.

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wasallam. “Apakah ibadat yang paling baik”. Baginda menjawab, “beriman kepada ALLAH dan Rasul”. “Apa lagi” kata pemuda itu, Baginda menjawab, “Jihad Fisabilillah”. “Apa lagi”, Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Haji yang Mabrur”.[Shahih Bukhari dan Muslim].

Manakala bagi mereka yang berkemampuan diharapkan agar mereka berusaha untuk melengkapkan rukun Islam yang kelima ini serta berazam untuk menanamkan niat mereka mengerjakan ibadah haji pada tahun hadapan.

ALLAH Subhana Wa Ta’ala telah berfirman : “Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap ALLAH, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.[Surah Ali Imran, Ayat 97].

Bagi kalian yang menyimpan di Tabung Haji. Tanamkan azam dan niat kalian untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Semoga kehidupan kita di dunia yang sementara ini sentiasa diberkati oleh ALLAH Subhana Wa Ta’ala. InsyaALLAH.

Salam AidilAdha.

Makin ramai lupa fadilat Aidiladha

Makin ramai lupa fadilat Aidiladha
December 15th, 2007 ·


Jendela Hikmah:Oleh Tuan Yaacob Tuan Sof
AIDILADHA yang dirayakan pada 10 Zulhijah adalah tanda pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail mentaati perintah Allah . Ia juga simbol perpaduan ummah apabila setiap tahun umat Islam berhimpun di Makkah untuk menunaikan ibadat haji. Sambutan hari raya ini oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah. Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas dalam hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri.”
Ibn Taimiyah juga menyebut perayaan ini adalah suatu ’syariat’ seperti ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud:
“Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama atau ibadat (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” (Surah Al Maidah, ayat 48)


Oleh itu, perayaan yang diraikan umat Islam bukan semata-mata aktiviti sosial tetapi adalah satu ibadat yang dituntut dalam agama.Garis panduan merayakan Aidilfitri dan Aidiladha ada persamaan dan perbezaan. Jika pada Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama, pada sambutan Aidiladha dilarang berpuasa selama empat hari.
Bertakbir hanya sehari di Aidilfitri tetapi dituntut bertakbir selama empat hari berturut-turut di Aidiladha, disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya, diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi disunatkan melakukan ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah selepas solat sunat Aidiladha.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)
Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging, atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat korban.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah , tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan.” (Surah Al-Haj, ayat 37)
Perayaan Aidiladha berlangsung selama empat hari dari 10 Zulhijah hingga 14 Zulhijah. Selama empat hari itu disunatkan berkorban dan daging korban akan diagih-agihkan kepada mereka yang miskin sebagai satu cara penyucian jiwa bagi mereka yang kaya.Kita juga sewajarnya menziarahi sanak-saudara dan keluarga terdekat serta kenalan untuk menguatkan ikatan persaudaraan sempena menyambut Aidiladha. Kegembiraan meraikan hari raya amat digalakkan dalam mentauhidkan Allah . Ibadat korban mencerminkan dua perkara. Pertama, ia adalah wasilah atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat. Kedua, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam.

Tetapi apa yang berlaku di tanah air kita ialah semakin ramai menjadi kurang prihatin dan memahami tujuan sebenar sambutan hari raya seperti yang disarankan agama. Pada pertengahan Ramadan sudah berkumandang lagu raya seolah-olah kita lupa sebenarnya ibadat berpuasa menuntut pengorbanan nafsu yang tinggi.
Media elektronik berlumba-lumba meraih penonton dengan menghidangkan pelbagai rancangan hiburan, hinggakan semakin ramai terpaku di hadapan televisyen dan amalan untuk menziarahi sanak saudara serta sahabat handai makin dilupakan.
Cuti umum Aidiladha pula dianggap seperti hari cuti biasa, diisikan dengan tidur atau membasuh kereta. Mungkin ramai beranggapan Aidiladha khusus bagi mereka yang sedang menunaikan haji di Makkah menyebabkan ramai yang tidak berapa mengambil peduli untuk meraikan Aidiladha.
Sudah sampai masanya kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk menyambut hari raya supaya pengisian yang dilakukan mendapat keredaan Allah . Wang untuk membeli pakaian baru adalah lebih baik digunakan untuk melaksanakan ibadat korban.

Kemungkinan kita boleh meraikan Aidiladha tahun ini dengan mengorbankan seekor lembu yang dikongsi bersama ahli keluarga, kemudian daging korban diberikan kepada orang miskin atau komuniti orang asli supaya dapat merasai nikmat keimanan serta penghayatan Aidiladha.
Firman Allah yang bermaksud:
“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)
Umat Islam mesti mengagungkan dan membesarkan hari perayaan agama mengikut konsep yang sebenarnya. Kita perlu mengetahui tujuan sebenar atau cerita di sebalik sambutan hari raya supaya mendapat rahmat daripada Allah .

- Penulis ialah Bendahari Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia yang menguruskan Dana Projek Cemerlang Korban secara on line yang boleh dilayari di http://qurban-aqiqah.jim.org.my/1428/

Rabu, 19 November 2008

Menanti di Barzakh


MENANTI DI BARZAKH

Ku Meruntih, Aku Menangis…
Ku Meratap, Aku Mengharap,
Ku Meminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata…

Perjalanan ROHku, Melengkapi sebuah Kembara,
Singgah di Rahin Bonda, Sebelum Menjejak Ke Dunia,
Menanti Di Barzakh, Sebelum Berangkat Ke Mahsyar,
DiPerhitung Amalan, Penentu Syurga atau Sebaliknya….

Tanah yang Basah Berwarna Merah,
Semerah mawar dan juga Rindu,
Tujuh Langkah pun Baru Berlalu,
Seusai TALKIN bernada Syahdu,

Tenang dan Damai diPusaraku,
Nisan Batu Menjadi Tugu,
Namun Tak Siapa Pun Tahu Resah Penantianku…

Terbangkitnya Aku Dari sebuah Kematian,
Seakan Ku Dengari Tangis Mereka yang Ku Tinggalkan,
Kehidupan di Sini Bukan suatu Khayalan,
Tetapi ia sebenar Kejadian ….

Kembali ROH Kembali…Kembalilah ke Dalam Diri,
Sendirian, Sendiri…Sendiri Bertemankan Sepi,
Hanya Kain Putih yang Membaluti Tubuhku,
Terbujur dan Kaku, Jasad di Dalam Keranda Kayu…

Ajal Yang Datang di Muka Pintu
Tiada Siapa yang Memberitahu,
Tiada Siapa pun dapat Hindari,
Tiada Siapa Yang Terkecuali

Lemah Jemari Nafas Terhenti,
Tidak Tergambar Sakitnya Mati,
Cukup Sekali
Tak sanggup untuk Ku Mengulangi….

Jantung Berdegup Kencang,
Menantikan Malaikat datang….
Menggigil Ketakutan,
Gelap Pekat di Pandangan…

Selam ini di ceritakan
Kini Aku Merasakan,
Di Alam Barzakh Jasad di Kebumikan

Ku Meruntih, Aku Menangis…
Ku Meratap, Aku Mengharap,
Ku Meminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata…

Detik Kematian




DETIK KEMATIAN

Tertulis Kematian…
Pada Suratan Kehidupan
Namun Hanya ALLAH yang Tahu
Bilakah Ajal Bakal Bertamu…

Detiknya Menghampiri
Tanpa Prtanda yang menanti
Bila Tiba Saatnya Nanti
Tak Siapa Dapat Melarikan Diri
Itu Hakikat dan Kepastian
Hadirnya tidak Pernah kita alukan
Tua dan Muda, Miskin dan Kaya…
Semua Insan Pasti Melaluinya

Sakit diRasa, Tidak Terkata
Tika diPisahkan Jiwa dari Jasadnya
Hanya Amalan Bisa Redakan
Bebanan Derita Diambang Kematian

Denyutan Nadi Akhirnya Terhenti
Bersama Nafas Yang Tak Terhela lagi
Kerana Jiwa meninggalkan Pergi
Pulang Kembali Untuk Menghadap ILLAHI…

(Dari ALLAH kita datang,
KepadaNya Kita Pasti Pulang)

Detiknya Pasti Tiba,
Adakah Kita Bersedia…

Pergi Tak Kembali




PERGI TAK KEMBALI
Setiap Insan… Pasti Merasa
Saat Perpisahan Terakhir
Dunia yang Fana
Akan di Tinggalkan
Hanya AMALAN yang di Bawa

Terdengar Sayup Surah Dibaca
Sayunya Alunan Suara…
Cemas di Dada
Lemah tak Bermaya
Terbuka Hijab di Depan Mata…

Selamat Tinggal Pada Semua
Berpisah Kita Selamanya
Kita Tak Sama Nasib di Sama
Baikkah atau Sebaliknya…

Amalan Dan Takwa
Jadi Bekalan
Sejahtera Bahagia
Pulang ke Sana

Sekujur Badan Berselimut Putih
Rebah Bersemadi Sendiri
Mengharap Kasih Anak dan Isteri
Apa Mungkin Pahala DiKirim

Terbaring Sempit Seluas Pusara
Soal-Bicara Terus Bermula
Sesal dan Insaf Tak Berguna lagi
Hancurlah Jasad diMamah Bumi

Berpisah Sudah Segalanya
Yang Tinggal Hanyalah Kenangan
Diiring Doa dan Air mata
Yang Pergi Takkan Kembali Lagi…

Selasa, 18 November 2008

Hukum Bersuci (Bahagian 3) Bahagian-bahagian Air

Bahagian-bahagian air adalah seperti berikut:
  1. Suci lagi menyucikan.
  2. Suci lagi menyucikan tetapi makruh.
  3. Suci tetapi tidak menyucikan.
  4. Bernajis.

Huraian;
Air yang Suci lagi Menyucikan

Yang dimaksudkan dengan iar yang suci lagi menyucikan ialah air mutlak yang kekal dengan sifat kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t. Air tersebut masih dikatakan air mutlak, walaupun ia telah berubah dengan sebab sudah lama ditinggal, atau disebabkan oleh tanah, atau tuhlub (sejenis benda hijau yang terapung di atas air disebabkan tinggal lama di dalamnya - kiambang), atau bekas atau tempat mengalir seperti ia berada di dalam tanah yang mempunyai belerang atau ia mengalir di atas tanah tersebut, semua ini tetap dikatakan air mutlak. Ini kerana air tersebut sukar untuk dielakkan daripada perkara-perkara tersebut.
Terdapat dalil yang menunjukkan kesucian air mutlak iaitu hadis riwayat Al-Bukhari (217) dan lainnya daripada Abi Hurairah r.a. katanya:

" Seorang badwi telah berdiri lalu kencing dalam masjid. Kemudian para sahabat pergi untuk menghalangnya, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Biarkan dia, dan tuangkan di atas air kencingnya sebaldi air, sesungguhnya kamu dibangkitkan untuk mempermudahkan dan bukan menyusahkan."

Perintah Rasulullah s.a.w. untuk menuangkan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai ciri atau sifat menyucikan.

Air yang Suci dan Menyucikan tetapi Hukumnya Makruh

Air yang suci dan menyucikan tetapu hukumnya makruh ialah air musyammas. Ia adalah air yang panas disebabkan cahaya matahari dan dihukum makruh apabila ia memenuhi tiga syarat sebagaimana yang berikut:

  1. Ia berlaku di negeri yang panas.
  2. Ia diletakkan di dalam bekas yang ditempa daripada selain emas dan perak seperti besi, tembaga dan semua galian yang boleh ditempa (berkarat).
  3. Ia digunakan di badan manusia walaupun badan mayat, atau haiwan yang boleh menyebabkannya ditimpa penyakit sopak seperti kuda.

Imam Syafi'e r.a. meriwayatkan daripada Umar r.a.:

"Bahawa beliau (Umar) tidak suka mandi dengan air tersebut dan ia berkata: Aku tidak suka mandi dengan air tersebut disebabkan masalah kesihatan, kemudian Imam Syafi'e meriwayatkan bahawa air tersebut boleh menyebabkan penyakit sopak."

Ini kerana ketajaman cahaya matahari boleh menimbulkan keadaan berlemin (benda yang seperti minyak) busuk yang terapung di atas permukaan air. Sekiranya ia terkena pada badan dalam keadaan air tersebut panas, maka ia boleh memudaratkan badan dan menyebabkan penyakit sopak (sejenis penyakit kulit).


Air yang Suci Tetapi Tidak Menyucikan

Air ini terbahagi kepada dua iaitu:
1. Air yang sedikit yang telah digunakan untuk taharah yang wajib seperti mandi wajib dan berwudhuk. Hal ini telah disokong dengan dalil sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bikhari (191) dan Muslim (1616) daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. datang menziarahiku untuk bertanyakan keadaanku. Ketika itu aku sakit dan tidak sedar. Lalu Baginda berwudhuk dan mencurahkan air wudhuknya ke atas aku." Sekiranya air wudhuk itu tidak suci, nescaya Baginda tidak akan mencurahkan ke atas Jabir.


Dalil ia tidak menyucikan ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim (283) daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda"Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang bertakung iaitu air yang tenang yang tidak bergerak, sedangkan ia berjunub. Lalu sahabat bertanya kepada Abi Hurairah, bagaimana ia hendak dilakukan (mandi dengan air tersebut)? Jawab Abi Hurairah: Ia menyelam dalamnya dengan satu selaman (sekaligus)."

Hukum berwudhuk adalah sama dengan hukum mandi kerana kedua-duanya mengandungi maknanya yang sama iaitu mengangkat hadas.

Hadis ini menunjukkan bahawa mandi dalam air tersebut menjadikan ia tidak menyucikan lagi. Sekiranya ia tidak memberi makna tersebut, nescaya Rasulullah s.a.w tidak melarang daripada berbuat demikian. Hadis ini difahami untuk air yang sedikit berdasarkan dalil-dalil yang lain.


2. Air mutlak yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang kebiasaannya air tersebut tidak berhajat kepadanya dan ia tidak boleh dipisahkan setelah bercampur, kemudian ia berubah dengan suatu perubahan yang tidak lagi dipanggil dengan air mutlak seperti air teh dan air arqasus.

Tetapi jika benda suci yang bercampur dengan air tersebut menyerupai pada sifat-sifatnya (rasa, bau dan warna) seperti air bunga mawar yang sudah hilang sifat-sifatnya, maka ketika itu; air bunga mawar itu hendaklah diganti dengan bahan lain yang mempunyai sifat berlainan yang sederhana; iaitu digunakan perahan delima untuk menentukan perubahan rasa, perahan tebu untuk menentukan perubahan warna dan al-lazan bagi menentukan perubahan bau. Sekiranya ditakdirkan berlaku perubahan disebabkan percampuran tersebut, maka ia menjadi air yang suci tetapi tidak menyucikan lagi. Ia tidak menyucikan kerana ketika itu ia tidak lagi dinamakan air mutlak. Sedangkan syarak mensyaratkan supaya air yang dibuat bersuci adalah air mutlak.


Air Mutanajis
Merupakan air yang terjatuh najis ke dalamnya. Air ini terbahagi kepada dua bahagian sebagaimana yang berikut:

1. Air yang sedikit iaitu kurang dari dua kolah. Air ini menjadi najis dengan hanya najis jatuh ke dalamnya walaupun sedikit dan tidak merubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa. Ukuran dua kolah ialah: 500 kati Baghdadi air dan ia menyamai 192.875 kg. Ia juga menyamai 1 1/4 hasta empat persegi tinggi, lebar dan dalam.

Abu Daud, At-Tirmidzi, An-Nasa'ie, Ibnu Majah dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. katanya: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w ditanya tentang air yang terdapat di padang pasir yang luas dan didatangi oleh binatang buas dan haiwan melata. Baginda s.a.w. menjawab: Jika air tersebut sebanyak dua kolah ia tidak menanggung kekotoran." Menurut lafaz hadis disisi Abu Daud (65): Maka air itu tidak menjadi najis.


Difahami daripada hadis ini, sekiranya air kuramg daripada dua kolah, maka ia menjadi najis sekalipun ia tidak berubah sifat-sifatnya. Kefahaman ini dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (278) daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang kamu bangun dari tidurnya, maka janganlah dia menyelamkan (menyelup) tangannya dalam sesuatu bekas, sehinggalah dia membasuh tangannya dahulu sebanyak tiga kali. Sesungguhnya dia tidak mengetahui di manakah tangannya bermalam (diletakkan)." Dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w. melarang orang yang bagun dari tidur mencelupkan tangan ke dalam bekas air kerana dibimbangi tangannya dicemari najis yang tidak kelihatan. Sudah sedia maklum bahawa najis yang tidak kelihatan tidak mengubah (keadaan) air. Oleh itu sekiranya tindakkan tersebut tidak menajiskan air disebabkan menyentuhnya, nescaya Rasulullah s.a.w tidak melarang daripada berbuat demikian.

2. Air yang banyak iaitu air yang sampai dua kolah atu lebih. Air ini tidak akan menjadi najis dengan hanya semata-mata terjatuh atau tersentuh najis tetapi ia menjadi najis apabila berubah salah satu sifatnya iaitu warna, rasa atau bau. Dalilnya ialah ijmak para ulama'


Imam Nawawi r.a menyebut dalam kitabnya Al-Majmuk (1/160): "Ibnu Munzir berkata : Ulama' telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila jatuh ke dalamnya najis dan mengubah rasa atau warna atau bau, maka air itu menjadi najis."




Sedikit peringatan "Air yang boleh digunakan untuk BERSUCI...."


Bukan semua jenis air boleh dibuat bersuci iaitu mengangkat hadas (kecil atau besar) dan menghilangkan najis. Air yang boleh dibuat bersuci hanyalah jenis yang pertama (air mutlak) dan kedua (air musyammas) sahaja. Tetapi air yang kedua ini makruh digunakan pada badan.

Manakala air jenis yang ketiga, ia tidak boleh dugunakan untuk bersuci sekalipun ia sendiri adalah suci. Ia hanya boleh digunakan untuk tujuan selain bersuci seperti minum, memasak dan lain-lain.

Air jenis yang keemapat pula, ia adalah air yang najis. Ia tidak boleh digunakan untuk apa-apa kegunaanpun.

Isnin, 17 November 2008

Hukum Bersuci (Bahagian 2)



Hikmah Disyariatkan Bersuci


Setiap sesuatu perintah yang dibawakan oleh islam pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Begitu jugalah halnya dengan bersuci ini. Islam mensyariatkan bersuci kerana terdapat hikmah yang banyak di dalamnya, menurut pandangan Dr. Mustafo Al-Khin, Dr. Mustafo Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji di dalam kitab Fekah Mazhab Syafie (jilid 1: halaman 37) antaranya ialah:
  1. Bersuci adalah satu tuntutan fitrah. Fitrah manusia cenderung kepada kebersihan dan secara semulajadi dia tidak suka dan menjauhkan diri daripada kejijikkan dan kekotoran. Oleh kerana Islam adalah agama fitrah, maka secara semulajadi ia memerintah (manusia) sepaya bersuci dan menjaga kebersihan.

  2. Menjaga kemuliaan dan izzah (kehebatan dan kemegahan). Manusia secara semulajadi cenderung kepada seseorang yang bersih, duduk berhimpun dan duduk bersamanya. Pada waktu yang sama mereka bencikan kepada seseorang yang pengotor, menghina dan menjauhkan diri serta tidak suka duduk bersamanya. (Oleh kerana Islam adalah agama yang sangat mengambil berat dalam menjaga kemuliaan seseorang yang beriman (mukmin) dan kehebatannya, maka Islam memerintah supaya seseorang mukmin itu menjaga kebersihan agar menjadi orang yang mulia dan disegani di kalangan saudara-saudaranya).

  3. Menjaga kesihatan. Kebersihan adalah faktor yang sangat penting untuk menjaga manusia daripada penyakit. Ini kerana kebanyakan penyakit yang merebak/menular di kalangan manusia adalah disebabkan kekotoran. Oleh itu membersihkan badan, memabsuh muka, dua tangan, hidung dan dua kaki (angota-angota yang sentiasa terdedah kepada kekotoran) beberapa kali setiap hari, menjadikan badan sentiasa terpelihara daripada penyakit.

  4. Berdiri di hadapan Allah dalam keadaan suci dan bersih. Ini kerana dalam sembahyang, manusia bercakap dengan Tuhannya dan bermunajat kepada-Nya. Oleh itu selayak dan sepatutnya dia berada dalam keadaan suci zahir dan batin, bersih hati dan juga badannya kerana Allah Taala kasih kepada orang yang suka bertaubat dan sentiasa bersih.
Air yang Boleh Dibuat Bersuci
Air yang boleh dibuat bersuci ialah air hujan, air laut, air perigi, air sungai, air mata air dan air salji.
Semua air ini tergolong dalam dua kategori; Air yang turun dari langit dan air yang terbit atau terpancar dari bumi. Firman Allah Taala: "Dan kami telah turunkan dari langit air yang suci." (al-Furqan:48)
Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan Dia (Allah) menurunkan ke atas kamu dai langit, air (hujan) supaya kamu bersuci dengannya." (an-Anfal: 11)


Abu Daud, At-Tirmidzi, An-nasai'e, Ibnu Majah dan Imam Ahmad bin Hambal (At-Tirmidzi berkata: Hadis hasan sahih) meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
"Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w katanya: Wahai Rasulullah, kami telah berlayar di lauatan, dan kami telah membawa bersama-sama kami air yang sedikit, sekiranya kami berwudhuk dengannya, kami akan dahaga, apakah boleh kami berwudhuk dengan air laut? Rasulullah s.a.w menjawab: Airnya suci dan halal bangkai di dalamnya."

Maksud halal bangkai di dalamnya ialah semua yang mati di dalamnya seperti ikan dan seumpamanya boleh dimakan tanpa disembelih.

akan bersambung lagi....

Ahad, 16 November 2008

Hukum Bersuci (Bahagian 1)


Erti Bersuci

Bersuci pada bahasa ialah bersih dan terhindar daripada segala kekotoran sama ada dalam bentuk hissiah iaitu yang boleh dirasa seperti najis atau ma'nawiyyah seperti perkara yang mengaibkan, atau sifat-sifat keji.

Bersuci Mengikut Istilah Sayarak
Bersuci mengikut istilah syarak ialah perbuatan yang apabila dilakukan akan mengharuskan sembahyang didirikan atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan hukum sembahyang, seperti berwudhuk kepada sesiapa yang tidak berada dalam keadaan berwudhuk, mandi kepada sesiapa yang diwajibkan mandi dan menghilangkan najis daripada pakaian, benda dan tempat.

Islam Mengambil Berat Kebersihan dan Bersuci
Islam sangat mengambil berat kebersihan dan bersuci. ini dapat dibuktikan dengan beberapa ayat al-Quran sebagaimana yang berikut:
"Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu ingin mendirikan sembahyang, maka basuhlah muka-muka kamu dan tangan-tangan kamu hingga ke siku, dan sapulah kepala-kepala kamu dan kaki-kaki kamu hingga ke dua buku lali." [al-Maaidah:6]
Hal ini juga dapat dibuktikan apabila dorongan dan gesaan supaya mandi pada keadaan tertentu, sebagaimana firman Allah s.w.t.:
"Jika kamu dalam keadaan berjunub maka bersucilah." [al-Maaidah: 6]
Di dalam al-Bukhari (856) dan Muslim (849) meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w:
"Tanggungjawab setiap Muslim kepada Allah ialah mandi satu hari dalam seminggu dengan membasuh kepala dan badannya sekali."

Terdapat juga perintah supaya memotong kuku, membersih gigi dan pakaian. Al-Bukhari (5550) dan Muslim (257) meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w:
"Lima perkara daripada fitrah: Berkhatan (bersunat), mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai."
Al-Bukhari (847) dan Muslim (252) meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w:
"Sekiranya tidak membebankan ke atas umatku, nescaya Aku akan perintahkan mereka supaya bersugi setiap kali sembahyang."

Menutut riwayat Imam Ahmad (6/325) di akhir hadis disebut: ketika setiap kali berwudhuk.

Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Dan pakaian kamu, maka bersihkanlah." [Muddathir:4]
Abu Daud (4089) meriwayatkan sabda Nabi s.a.w kepada para sahabatnya:
"Sesungguhnya kamu akan bejumpa saudara-saudara kamu, maka perelokkanlah bekalan kamu dan pakaian-pakaian kamu sehingga kamu menjadi tahi lalat di kalangan manusia. Sesungguhnya Allah tidak suka perkataan dan perbuatan yang keji dan keterlaluan dalam perkataan dan perbuatan".

Maksud bekalan (rihal) ialah semua barang yang diperlukan untuk perjalanan seperti bekas-bekas dan lain-lain yang diletakan di atas belakang unta atau binatang tunggangan.
Maksud menjadi tahi lalat di kalangan manusia ialah menonjol dan berbeza dengan orang lain.

Firman Allah Taala yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang suka bertaubat dan kasih kepada orang yang suka bersuci." [al-Baqarah: 222)

Sesungguhnya islam juga telah menjadikan bersusi itu separuh daripada iman. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Bersuci itu adalah separuh daripada iman." (Muslim (223))
akan bersambung....

Lafaz Yang Tersimpan (Buatmu IBU...)



Luluh hati ku yang sayu
Menatap wajahmu Tenang dalam lena…
Kasih ku zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya…

Dan raut tuamu
Memberkas jiwaku
Meredakan rindu
Mendamaikan kalbu
Tak mungkin ku temu…
Iras sentuhanmu
Biar pun ku redah seluruh dunia
Mencari gantimu….
Ohoo…

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa, menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah
Hanyalah sekadar tingkah
Cumalah ungkapan kebisuan yang melindungkan
Kalimah rahsia

Masih ku biarkan waktu
Melarikan lafaz kasih ku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa, Menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah
Hanyalah sekadar tingkah
Cuma ungkapan bisu, kalimah rahsia

Apakah yang hilang… Andai dilisankan
Bait penghargaan, penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat…CINTA yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara, bukan atur kata…

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan…
Lafaz Yang Tersimpan…

GAMBAR 1

http://widget-30.slide.com/widgets/slideticker.swf" type="application/x-shockwave-flash" quality="high" scale="noscale" salign="l" wmode="transparent" flashvars="cy=bb&il=1&channel=2810246167497032496&site=widget-30.slide.com" style="width:400px;height:320px" name="flashticker" align="middle">

Cinta Bersulam Redha...


Jangan dikira pasangan yang sudah bercinta sekian lama,saat menikah akan terus mencintai pasangannya. Dan jangan dikira pasangan yang tidak melalui fasa percintaan akan sulit mencintai pasangannya setelah bernikah. Cinta itu ibarat pohon.Akarnya tumbuh ketika kita mulai berinteraksi dengan pasangan kita.Cinta pun akan bersemi ketika kita mulai menerima segala kelebihan dan kekurangan pasangan kita.Kita sirami dan pupuk ia dengan kasih sayang dan perhatian. Ia akan mekar dan berbuah ranum ketika kita berusaha memberi yang terbaik untuk pasangan kita. Namun ia tidak akan tumbuh begitu sahaja. Ia perlu dirawat dan dijaga dari penyakit dan hama yang menganggu.

Di antara kegembiraan, kesedihan dan kehibaan…’I will marry a stranger!’…Namun aku pasrah…

Jam 8.00 malam
‘Yang mana satu ek…?’
‘Yang itukan?’..
‘Iskh..bukan lah..itu kawan dia’..
‘OOo..ye ke..hurm…. takde beza pun…Mana satu ni?’

‘Aku terima nikahnya Najdatul ‘Iffah binti Umar Faruq dgn mas kahwinnya 80 ringgit tunai….’.

‘‘Iffah dah jadi zaujah!’ Bisik Wafa’ sahabatnya seusai akad itu dan di saat aku menadah tangan berdoa. Tidak semena-mena beberapa titis air mata gugur keribaanku. Terselit juga hiba walaupun pada hakikatnya hati aku teramat gembira..

Detik-detik ijab kabul itu. Sungguh ia merupakan sebuah momentum sederhana yang memiliki energi potensi dasyat untuk mengubah kehidupan dua anak manusia yang akan menjadi sepasang suami istri. Pernikahan adalah sebuah kerja besar yang menunggu kita.Kita tidak akan lagi merasa bahagia atau sedih sendiri. Malahan sudah tidak boleh melakukan banyak hal dengan menuruti keinginan sendiri. Kini telah hadir seseorang yang mencintai kita dan harus juga kita cintai, yang memperhatikan dan perlu kita perhatikan, tempat curahan hati, berkongsi rasa, canda, tangis, bahagia, susah dan marah. Dan seseorang itu adalah suami yang Allah berikan padaku….

Bila ada keindahan,
Yang mewujud utuh..
Dalam seluruh dimensi..
Dan menyentuh utuh..
Sepenuh rasa di jiwa,
Itulah detik ijab qabul..
Selamanya..
Indahnya nyata..
insyaAllah.

"Assalamualaikum!’ sapa satu suara.Aku masih tidak mampu untuk mendongak, melihat wajahnya itu. Aku berteleku dan terus menunduk. Ruang di antara para tetamu wanita di hadapanku di buka untuk lelaki tersebut mendekatiku. Aku bertambah gementar…Namun terus menghulurkan tanganku buatnya, lalu disarungkan sebentuk cincin emas ke jari manisku. Kerlipan cahaya dari berbelas kamera membuatku terus berpeluh-peluh. Dia lantas keluar tanpa berkata apa-apa. Mungkin dia segan dan malu, aku menebak. Mana tidaknya, puluhan akhawat memenuhi segenap ruang yang ada di bilik kecil itu.

‘Tak sempat lagi tengok muka dia’
‘Tak sempat ke?Tak berani ke?Ke malu?’ Wafa’ masih tersengih memerli.

‘Semualah sekali. Eh, dia ada kat mana sekarang?’
‘Makan kot…kat luarlah..pergilah tengok,’
‘Tak mahulah. Segan sangat-sangat. Dahlah tak kenal. Dia balik lepas jamuan. Esok akan datang semula’

.…....
Aduhai…
Akhawat yg ada geli hati agaknya melihat gelagat ‘Iffah. Mana tidaknya. Muka suami pun tak pernah dilihat Dah akad nikah pun masih belum melihat. Esoklah nampaknya rezekinya di waktu kenduri.

Di malam akadnya itu, dia masih belum bersama suaminya. Orang tua-tua kata tak elok selepas bernikah duduk sekali. Mesti tunggu majlis rasminya keesokan harinya.

Di saat itu dia masih membayangkan wajah suaminya yang hanya dilihatnya lewat gambar foto yang dikirimkan oleh ustaznya, perantara yang menjodohkan antara dia dan suaminya.

Di saat itu juga, memori lama terimbau kembali.

Dia masih teringat di saat dia ditanyakan adakah mahu dia berumah tangga dengan pemuda itu. Oleh kerana kepercayaan yang telah lama dibaja kepada manusia yang sudah lama mendidiknya, ’Iffah menyatakan persetujuannya. Bukan tergesa-gesa, tidak juga tanpa berfikir panjang. Malah, dia telah mempertimbangkannya sejak sekian lama.

Dia sangat mahukan pernikahannya hanyalah semata-mata kerana Allah. Dia mahu tindakannya itu disandarkan kerana Allah. Dia mahu berkarya untuk mengeratkan kasih dan produktif memaknai cinta tanpa mengharapkan balasan manusia, hattakan suaminya sendiri. Dia mahu cintanya itu bersumberkan kecintaan kepada Ilahi. Kecintaan yang benar-benar hidup dan menghidupkan…

‘Iffah sedar keputusannya menyerahkan segala urusan baitul muslimnya pada jemaah untuk mengatur dan memilih pasangan hidupnya membuktikan sedalam mana intima’ dan kepercayaannya pada jemaah dan manusia yang bertanggungjawab menjaganya.

Memasuki alam pernikahan memerlukan akar yg cukup kuat. Ibarat sebuah bangunan, semakin berat beban yang diterima, maka akan semakin kukuh struktur asas yang dibuat. Semakin teliti penelitian yang akan dibuat ke atas bangunan yang di buat. Bukan sahaja pada struktur asas ,tetapi kekuatan pendukungnya yang lain.

Dan semenjak hari itu,setiap detik menjelangnya merambat begitu lambat, di lautan hati yang penuh bunga,senyum bertebaran di wajah-wajah cerah, yang kian berseri.Seiring makin mendekatnya detik-detik penuh bersejarah itu, ’Iffah,seorang gadis biasa yang fitrahnya manusia, kadangkala tersadung juga. Hampir tergelincir ke lembah yang tidak diingininya. Dia mahu memelihara suci hubungan itu. Biarlah tiada ada noda. Biarlah bahagia itu bermula pada detik pernikahan itu sendiri.

Perbincangan mereka awalnya sangat terpelihara. Hanya sekadar atas urusan yang perlu dan di ‘cc’ kan pada mereka yang selayaknya.

ustaz….Ukhti…
Entah di mana ana harus mulakan…agak segan menulis kata2 walaupun tidak nampak rupa, malu pula untuk menuturkan bahasa di khalayak kalian berdua….Ana pun tidak pasti atas dasar mana ana menulis email ini, yang pastinya, aqidah ISLAM lah yang menghubungkan kita semua, tidak perlu la didetailkan lagi…Ustaz dan ukhti maklum dan jelas di dalam perkara ini insyaAllah.. ..Ana pasti ukhti iffah jelas di atas apa yang telah berlaku sebelum ini, resume telah diterima dan dibaca, boleh kata masing2 faham tidak perlu diterangkan mengapa dan siapa kerna semua itu sudah diserahkan kepada murabbi kita …ana hanyalah insan lemah yang menyerahkan segala yang berlaku kepada Allah s.w.t….semoga Allah berikan yang terbaik buat kita semua….. Tidak lain dari sini, ana hanyalah meminta keizinan menyatakan persoalan dengan tenang kepada ukhti iffah di atas perancangannya di dalam perkara ini, ana perlu lebih jelas tentang apa yang difikirkan oleh enti.…….

Perbincangan sering berlaku lewat email dan ‘yahoo messenger’. Atas alas an untuk menguruskan hal-hal bersangkut paut dengan pernikahan. Namun setelah beberapa kali berhubung sudah muncul pula icon yg mampu menggetarkan hati-hati manusia yang menanti saat yang dirasakan manis itu. Ada juga email yang terlepas dan tidak di ‘cc’ kan pada orang lain. Astaghfirullah! Pada mulanya berchatting sedaya upaya dielakkan. Namun akhirnya ‘Iffah pasrah. Tunduk pada hatinya yang seakan rindu melihat icon senyum itu menyala. Dan akhirnya syaitan itu menang jua. Walaupun tiada bicara yang melekakan. Namun cukuplah ucapan ‘doakan diriku pejuang sejati’ mampu menggetarkan dan mengusik hatinya itu. Entah mengapa saat pernikahannya itu dirasakan terlalu lama.

Thariq zayyad : ok ukht, ana undur dulu…
‘iffah : ok, jaga diri ..
Thariq zayyad : doakan diriku pejuang ISLAM sejati =)
‘iffah..insyaALlah. . wassalam..
Thariq :wslm wr wbt..

Mungkin berbaur semangat perjuangan, tetapi sebenarnya ia cukup palsu! Sayang sungguh sebagai pekerja islam yang kononnya membina bangunan Islam, tetapi dalam masa yang sama meruntuhkannya. Prinsip-prinsip pergaulan dilanggar, kata-kata walaupun sebentar mampu membuka ruang fitnah. Memang di mata manusia biasa apalah sangat perbuatan itu. Mereka akan berkahwin! Tapi jiwa orang mukmin yang sensitif, yang peka dengan maksiat-maksiat kecil, dia tahu perbuatannya itu tidak diredhai oleh Allah swt. Cepat-cepat dia beristighfar. Biarlah dia bersabar asalkan pernikahannya nanti adalah suci.

Alhamdulillah, Allah tidak membiarkan ia berlaku lama. Akhirnya ada yang dapat menghidu dan menegur. Aduh..malu sungguh dirinya pada Allah! Dirinya sering dianggap hebat dan cukup tsiqah tetapi kalah pada naluri rindunya. Walaupun sekadar icon =) namun dia merasakan itu satu noda besar untuknya!

Ruang dialog hati,
dalam kesedaran cinta ilahi,
sebagai sebenar-benar cinta.

Kita membangun sebuah pernikahan kerana cinta kita kepada Allah. Kita ingin selalu menyempurnakan cinta itu maka kecintaan kepada Allahlah adalah yang lebih utama perlu kita perhatikan demi kelangsungan pernikahan kita di dunia dan akhirat. Tentunya kita tidak ingin membawa pernikahan kita semakin jauh dariNya kerana peluang. Kita mudah terbawa arus lantaran selalu sebuk dan lalai dengan pernikahan itu. Mudah lari dari syariatnya.. Midah tertipu zahirnya dalam kebaikan. Kerana itu, kita perlu membangun sebuah komitmen denganNya dahulu sebelum menjalin komitmen dengan pasangan hidup kita…

Cinta bukan kerana keindahan yang tampak di mata..
Tetapi kerana yang menyatukan hati dan jiwa…

Akhirnya, segalanya ditinggalkan kerana Allah. Dia tidak sanggup lagi membiarkan fitnah berlaku ke atas hatinya. Komitmen dengan Allah swt dibutuhkan kerana dia bertekad membangunkan mahligai rumah tangga semata-mata mencari ridhaNya. Ingin membangunkan mahligai pernikahan dengan nuansa cintaNya dan cinta kepadaNya….

kala cinta bertanya pada cinta..
imanlah jawabnya..

Azan subuh yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan . Tidak disedari masa berlalu begitu cepat sekali. Kedengaran diluar suasana kelam kabut…bunyi kaca dan suara saudara mara hiruk pikuk di luar.

Baru aku teringat, hari itu adalah kenduri walimahku setelah akad semalam. Aku tersenyum sendirian. Di manakah suamiku? Bilakah dapat aku menatap wajahmu duhai kekasih?

Di sini teduh hadir kukuh,
Di kelopak cerah segala bunga,
di pucuk-pucuk hijau segala rasa..

Alhamdullillah, kenduri berjalan dengan lancar hari itu. Ramai sungguh teman-teman yang hadir mengucapkan tahniah dan menyerikan lagi suasana. Aku sempat mencuri pandang ke arah suamiku. Itupun setelah disuruh oleh sahabatku. Mana tidaknya seorang di hulu, seorang ke hilir. Penat sungguh sanak saudara menyuruh kami berjalan berdua-duaan. Sungguh aku tak mampu menahan getaran hatiku berada di samping seorang lelaki asing yang tak pernah kukenal mahupun kulihat! Namun hatiku pasrah dan menerima seadanya. Biarlah proses taaruf kami berjalan selepas ini. Dan insyaAllah kami akan mengenali keluarga besar masing-masing juga. Biarlah hari ini kami kelihatan seperti dua makhluk asing pun!

Mulai detik itu, kami melayari bahtera ini dengan keindahan dan kecintaan yang sebenar. Benarlah apabila syariat dipatuhi, manisnya pernikahan itu benar-benar dirasai. Di saat itu kisah cinta agung Khadijah r.a dan Muhammad saw kita selusuri. Betapa suburnya pohon cinta itu, akar-akarnya menghujam di hati, batangnya kukuh, rantingnya menjulang ke langit, daunnya rimbun, buahnya ranum,menaungi dan memberi kebahagiaan kepada sepasang jiwa.Benarlah… nyata pernikahan juga memerlukan keperluan emosional yang tinggi. Hubungan dua insan yang saling memahami, empati, toleransi dan motivasi. Perlunya ada penyelarasan dan keselarian emosi. Tambahan lagi ketika awal pernikahan, banyak saat-saat yang cukup terduga, oleh itu sabar dan iman harus diutamakan. Penyelarasan ini tidak akan terjadi serta merta, seperti antena radio atau tv yang perlu diputar-putar untuk mendapat gelombang yang betul, maka penyelarasan antara dua jiwa ini juga memerlukan banyak percubaan. Ini akan terjadi sepanjang pernikahan kita hingga ke akhir hayat. Sabar dan syukur memudahkan kita memandang segala permasaalah kita dengan jiwa yang jernih…

Aku benar-benar bersyukur atas apa yang dianugerahkan padaku hari ini. Sungguh tidak ternilai cintaNya padaku….

‘ Ya Allah. dimana lagikah dapat ku temui cinta sejati..
kecuali pada cintaMu..
ke mana lagikah hati ini harus berlabuh..
kecuali pada kasihMu..
Jadikanlah hati yg lemah ini yaAllah..
tertambat kukuh hanya padaMU..
Aku mohon redha atas segenap keputusanMu
kesejukan setelah matiku..
kenikmatan memandang wajahMu..
dan kerinduan untuk berjumpa denganMu..
Ampunilah diri ini yang tidak beharga Ya Allah ..
Penuhilah kehinaannya dengan keindahan maghfirahMu’

Sabtu, 15 November 2008

Kepentingan Ilmu Pengetahuan



Kepentingan Ilmu Pengetahuan...

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, segala puji selayaknya untuk Allah SWT kerana masih menganugerahkan kesihatan yang baik justeru pantas untuk memblog buat kesekian kaliya... Hari ini ahad, 18 Zulkaedah 1429 bersamaan 16 November 2009, jam 7:49 pagi ana mula menulis blog ini.
Pertama sekali ana memikirkan apa topik yang ingin blogkan sebagai pembuka kepada blog "...lafaz yang tersimpan..." ini, alahai... fikir punya fikir, nah! akhirnya Alhamdulillah diilhamkan oleh yang Maha Kuasa untuk membingcangkan bab kepentingan ilmu pengetahuan...

Tahukah saudara-saudari sekalain betapa pentingnya ilmu pengetahuan di dalam kehidupan harian kita. Semua sedia maklum baha ilmu itu sangat penting, hatta budak tadika pun tahu bahawa ilmu itu penting. Di sini suka ana nyatakan dan cuba kupaskan kepentingan ilmu dalam pandangan Islam...

Saudara-saudari,
Pada zaman yang akhir-akhir ini, ada sekumpulan masyarakat yang terlampau sibuk dengan tugasan berdakwah, dan keinginan mereka untuk berdakwah menyampaikan yang hak dan mencegah yang batil, dan menyebarkan Agama Islam amat merasuk jiwa (kalbu) mereka sehingga mereka sanggup berkorban setengah-setengah kepentingan dan maslahat diri sendiri demi kepentingan berdakwah itu sendiri. Alhamdulillah semangat itu ada dan semoga Allah SWT terus suburkan semangat itu di dalam hati-hati mereka... Namun alangkah bagus dan cantik andainya kita sedar bahawa tugas berdakwah itu ada bermacam-macam syaratnya, dan syarat utamanya sekali ialah, bagaimana kita boleh bertarbiah kepada diri sendiri sebelum kita bertarbiah kepada orang lain. Nah! di sinilah ilmu itu harus diutamakan, masakan kerja dakwah itu dapat direalisasikan tanpa segenggam ilmu yang terpahat di dada dan diiringi dengan akhlak yang mantap. Sebab tugas berdakwah itu tugas nubuwwah (kenabian).

Allah swt telah berfirman: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat (peringatan) yang baik." [an-Nahl:125]

Di dalam al-Quran al-Karim terdapat banyak sekali ayat yang menunjukkan kepada keutamaan ilmu pengetahuan itu, antaranya adalah:

"Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." [ali-Imran:18]

Perhatikan ayat di atas tersebut, bagaimana Allah SWT telah memulakan penyaksian itu dengan diri-Nya sendiri, keduanya dengan para Malaikat dan sesudah itu dengan para ahli ilmu pengetahuan. Menuru "tafsir Ibnu Kathier-jilid 2" di halaman 35, menyatakan bahawa apabila dihubungkaitan dengan persaksian orang-orang yang berilmu di dalam ayat ini dengan persaksian para Malaikat, menandakan penghargaan khusus serta kedudukan istimewa yang diberikan oleh Allah SWT kepada para ilmuan (ulama).

Allah berfirman pula:
"Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu, dan begitu pula orang-orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan beberapa darjat." [al-Mujadalah:11]

"Katakanlah: Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada berilmu pengetahuan." [az-Zumar:9]

"Hanyasanya orang yang takut kepada Allah dari golongan hamba-hambaNya itu, ialah orang-orang yang berilmu pengetahuan." [Fatir:28)

Di antara wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya ialah: "Wahai anakku! Pergaulilah para alim-ulama dan rapatilah mereka dengan kedua-dua lututmu, sebab Allah SWT menghidupkan hati dengan nur(cahaya) hikmat, sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit."

Keutamaan Belajar
Kita sudah mengetahui tentang perihal kepentingan ilmu pengetahuan dan darjat orang yang berilmu di sisi Allah. Sekarang marilah saudara-saudari lihat pula keutamaan belajar. Allah banyak menyatakan isu ini di dalam kalamNya yang indah. Adapun ayat-ayat al-Quran yang berhubung dengan keutamaan belajar itu, antaranya ialah:

"Mengapa tidak ada sekelompok pun dari setiap golongan mereka itu, yang berangkat untuk menambah ilmu penetahuan agama." [at-Taubah:122]

"Maka tanyakanlah para ahli ilmu pengetahuan, kiranya kamu tiada mengerti." [an-Nahal:43]

Sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah SWT akan melorongkan baginya jalan ke syurga."

"menuntut ilmu adalah wajib di atas setiap orang muslim."

Abu Darda' berkata: Kiranya saya dapat mempelajari suatu masalah, itu adalah lebih saya cintai daripada saya bangun beribadat sepanjang malam. Ia berkata lagi: orang alim dan orang yang menuntut ilmu itu, adalah orang yang berkongsi dalam kebaikan. sementara orang-orang selain keduanya adalah sesia belaka, tiada berguna sama sekali.

Imam Syafi' r.a. berkata pula: Menuntut ilmu itu lebih utama dari sembahyang sunat.

Berkata Fatah al-Maushili rahimullah: Bukankah si pesakit itu bila tidak diberikan makan atau minum ubat, ia akan mati! Orang ramai menjawab: Benar katamu! Dia berkata pula: Demikian pulalah sifatnya hati, kiranya ia tidak diberikan hikmat dan ilmu pengetahuan selama tiga hari saja, akan matilah ia.

Benar sekali kata-kata Fatah al-Maushili ini, hati itu makanannya adalah ilmu pengetahuan dan hikmat, dengan kedua-dua perkara ini ia akan tumbuh dengan sihat. Seseorang yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan, hatinya akan menjadi sakit dan kematiannya sedahlah pasti. Akan tetapi amatlah sedih kerana ia tidak merasai yang demikian itu kerana kecintaannya terhadap dunia dan kesibukkannya tentang dunia itu akan melenyapkan perasaannya. Kita berlindung kepada Allah pada hari di mana segala tabir akan tersingkap. Sesungguhnya manusia itu sedang nyenyak di dalam tidurnya, nanti bila mati akan tersedar.

Berkata Ibnu Mas'ud r.a.: Hendaklah kamu mencari ilmu pengtahuan sebelum ianya terangkat, dan terangkatnya ilmu pengetahuan itu dengan kematian ahli-ahlinya. Seseorang kamu tiada dilahirkan sebagai orang yang sudah pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu akan dicapai hanya dengan belajar.

Keutamaan Mengajar.
Apabila ilmu sedikit sebanyak berada di dada, hendaklah disampaikan agar ianya dapat dimanfaatkan umum. Terdapat banyak sekali ayat-ayat al-Quran dan hadith nabi berkaitan keutamaan mengajar, antaranya adalah:

"Hendaklah mereka memberikan peringatan kepada kaumnya, apabila telah mereka kembali kepada mereka nanti. moga-moga mereka berhati-hati." [at-Taubah:122]

Di dalam tafsir Ibnu Kathier (jilid 4) di halaman 183, Qatadah berkata: Jika Rasulullah SAW mengirim pasukan untuk berperang, maka hendaklah sebahagian pergi ke medan perang dan sebahagian lagi hendaklah tinggal bersama dengan Rasulullah SAW untuk mempelajari dan mendalami ilmu pengetahuan mereka tentang agama, kemudian dengan ilmu pengetahuan yang mereka perolehi itu, hendaklah mereka kembali kepada kaumnya untuk memberikan peringatan kepada mereka.

Adh-Dhahak berkata: Jika Rasulullah SAW mengajak berjihad (perang kesemuanya), maka tidak boleh tinggal dibelakang kecuali mereka yang uzur. Akan tetapi jika Rasulullah SAW menyerulah sebuah "Sariyah" (perang terbatas), maka hendaklah segolongan tinggal bersama dengan Rasulullah SAW mendalami pengetahuannya tentang agama, untuk diajarkan kepada kaumnya apabila kembali.

Allah SWT berfirman lagi: "Dan di waktu Tuhan mengambil janji orang-orang yang diberikan olehnya kitab; iaitu hendaklah kamu sekelian menerangkan perkara-perkara yang tersebut di dalam kitab itu, dan jangan sampai kamu menyembunyikannya." [ali-Imran 187]

"Siapakah orang yang lebih baik ucapannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan." [Fushshilat: 32]

"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik." [an-Nahal:125]
Adapun hadith-hadith yang menunjukkan tentang keutamaan mengajar, adalah seperti berikut:
Pesanan Rasulullah SAW ketika mengirimkan Mu'az ke Yaman, bunyinya: "Andaikata Allah SWT memberikan hidayah kepada seseorang dari hasil usahamu, adalah lebih baik bagimu dari dunia dan seisinya."

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang mengetahui sesuatu ilmu pengetahuan lalu disembunyikannya, nescaya di Hari Kiamat nanti, ia akan dikekang oleh Allah SWT dengan tali kekang dari api neraka."

" Sesungguhnya Allah SWT dan para MalaikatNya, begitu juga penghuni langit dan buminya, sehingga semut yang berada di lubangnya dan ikan yang di lautan, semuanya memohon rahmat bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai."

"Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: iaitu sedekah jariah (yang berterusan), ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang saleh yang mendoakan baginya."

"Orang yang menunjuk ke jalan kebaikan sama seperti mengerjakannya."

Dari Mu'az, katanya: Pelajarilah ilmu pengetahuan, sebab mempelajarinya kerana Allah adalah tanda takut kepadaNya, menuntutnya adalah ibadat, menelaahnya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikannya kepada ahlinya adalah kebaktian. Dialah kawan dan teman dalam masa kesunyian. Dialah penunjuk jalan kepada agama, dan pendorong kesabaran dalam masa kepayahan dan kesempatan. Allah mengangkat sesetengah kaum kerana ilmu pengetahuannya, maka dijadikanya pemimpin, penghulu dan penunjuk jalan kebaikkan yang diikuti oleh orang ramai. orang yang berilmu pengetahuan itu juga menjadi model utama dalam amalan kebajikan, dicontohi segala jejak langkahnya, dan dituruti segala kelakuannya. Memikirkan perihal ilmu pengetahuan setanding pahalanya dengan berpuasa, dan menelaahnya setanding pahalanya dengan bangun beribadat di tengah malam. Dengan ilmu pengetahuanlah manusia mentaati Allah azzawajalla, memperhambakan diri kepadanya, mengesakanNya dan membesarkanNya. Dengan ilmu pengetahuan juga manusia boleh mencapai darjat kewajiban kewara'an, dan dengannya pula manusia akan menyambung silatur-rahim. Dengan ilmu pengetahuan juga, ia akan mengenal yang halal dan yang haram. Ilmu pengetahuan itu adalah diumpamakan sebagai pembimbing, manakala amalan pula menjadi pengikutnya. Berbahagialah orang yang menerima ilham dari ilmu pengetahuan, dan celakalah orang yang terhalang dari ilmu pengetahuan...


Wassalam.
Penulisan ini berakhir sekitar jam 10:18 am.

Hari Pembukaan Blog ini...

Assalamualaikum....

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Mengasihani...

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Illahi kerana setelah sekian lama akhirnya blog ini akhirnya dapat ana bangunkan... Diharap dengan adanya blog ini ia sedikit sebanyak dapat menambahkan ilmu pengetahuan khususnya dalam bab Akidah Insan...

Semoga Allah SWT melindungi dan merahmati serta mengira ia sebagai satu amal jariah juga menetapkan hati di dalam keimanan, menyuburkan benih-benih kecintaan kepada Zat-Nya dan Rasul-Nya SAW...

Akhir Kata, Semoga mendapat manfaat...